Khabar gembira itu diumumkan wakil syarikat tersebut ketika pemenang trofi utama Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) terbabit diundang ke konti Hot FM, pagi tadi.
Di hadapan barisan penyampai stesen radio itu, Khairy Jamaluddin, Fara Fauzana, AG dan Johan, individu tersebut membuat pengumuman yang disambut sorakan gamat satu konti.
“Apabila KJ dah sebut, meluap-luap hati ini nak ke depan (umum). Dengan ini saya mewakili syarikat ingin menghadiahkan Bell sebuah kereta,” kata pemanggil bernama Fendi ketika berpeluang bercakap dengan Bell.
Sebelum itu KJ telah menyebut secara langsung mahu menuntut agar penggiat seni yang sudah 37 tahun menabur jasa itu diberikan kereta.
Katanya sambil bergurau, trofi kemenangan yang dibawa Bell termasuk untuk kategori, Artis Komedi Terbaik kemek disebabkan dia kecewa tahun ini tiada hadiah kereta.