Hayati Warisan Fauna Negara

BERUSIA lebih 21 tahun, Taman Burung Labuan sememangnya disenaraikan sebagai destinasi pelancongan utama di wilayah yang terkenal dengan jolokan Mutiara Borneo itu.

Bagi mengangkat populariti taman burung, Festival Taman Burung Labuan berskala besar diadakan baru-baru ini, sekali gus disenaraikan dalam kalendar pelancongan di Labuan.

Mengangkat tema Bersama-sama ke Arah Pemuliharaan Burung dan berkonsepkan Bandar Koboi Taman Burung Labuan, lokasi ini menyajikan tarikan unik untuk pengunjung apabila ada kira-kira 600 ekor burung daripada 39 spesies eksotik dan 29 spesies Borneo.
TAMAN Burung Labuan kini berusia 21 tahun. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Meraih peningkatan pengunjung, festival ini diadakan bertujuan mempromosikan lokasi ini sebagai pusat agropelancongan dan pusat pemuliharaan serta konservasi unggas di kepulauan Borneo.

Pengarah Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Marysia James Abie berkata, pihak pengurusan Taman Burung Labuan sememangnya menekankan aspek konservasi unggas Borneo yang dibimbangi pupus.

“Bagi memastikan kelangsungan warisan fauna negara, kami memulakan projek konservasi burung tertentu terutama spesies Borneo.

“Melalui proses konservasi ini, kita dapat membiakkan burung daripada spesies terancam dengan cara lebih baik dan efektif.

“Antara spesies yang menjadi fokus adalah burung tempatan dipanggil burung punjom.
TAMAN Burung Labuan menjadi tumpuan pengunjung. FOTO Nurul Shafina Jemenon
“Spesies burung punjom ini mengalami masalah pembiakan di habitat asal dan berisiko untuk pupus. Justeru, kami melakukan aktiviti pembiakan di sini secara aktif.

“Anak burung itu akan melalui proses rehabilitasi dalam tempoh tertentu sebelum ia dikembalikan ke habitat asalnya,” katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai penganjuran Festival Taman Burung Labuan, Dr Marysia menyifatkan ia sebagai langkah proaktif wajar dilakukan bagi menarik kunjungan orang ramai.

Selain membuka mata pengunjung mengenai kewujudan variasi spesies unggas, Dr Marysia turut berharap ia mampu memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap usaha dan kesedaran pemuliharaan burung yang terancam.
DR Norlizan. Gambar kanan: Dr Marysia. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Festival berskala besar yang berlangsung selama dua hari itu terbuka kepada orang awam secara percuma.

Acara kemuncak adalah larian amal, Labuan Bird Park Eco Ultra Marathom yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu 70 kilometer (km), 50km dan 30km dimulakan seawal jam 2 pagi.

Kutipan larian amal yang berjaya menarik 550 peserta dari 10 negara ini akan disumbangkan ke Akaun Amanah Taman Burung Labuan.

Antara 20 aktiviti tambahan yang dianjurkan termasuk pertandingan busking, mewarna, meniru suara burung, pertandingan ikan laga, pakaian beragam remaja, mencari harta karun serta jualan anak ayam berwarna-warni.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, penganjuran festival ini dilihat bersesuaian untuk membangunkan produk pelancongan Labuan.
PUPUK kesedaran pemuliharaan burung.FOTO Nurul Shafina Jemenon
Pada masa sama, usaha untuk mengekalkan kelangsungan spesies sedia ada perlu dilaksanakan bagi memastikan ia turut dapat dinikmati generasi akan datang.

Mengulas mengenai kekangan, beliau berkata, ia membabitkan kekurangan kakitangan pengurusan.

Baru-baru ini, Kementerian Wilayah Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur taman burung yang berkeluasan 6.1 hektar itu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, seiring dengan usia penubuhan Taman Burung Labuan pada 1998, lokasi ini seharusnya melalui proses penjenamaan semula sebagai destinasi pelancongan utama di Labuan.
NAIK taraf fasiliti untuk kemudahan pengunjung ke taman ini. FOTO Nurul Shafina Jemenon
“Peruntukan diserahkan kepada pengurusan ini membuktikan komitmen kementerian terhadap idea penjenamaan semula taman burung ini.

“Ia bukan hanya tertumpu pada pengurusan dan pemuliharaan, bahkan pembangunan landskap dan fasiliti dalaman.

“Objektif taman ini tidak seharusnya hanya tertumpu pada pameran burung, sebaliknya berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pemuliharaan bagi burung spesies eksotik dan Borneo,” katanya dalam majlis perasmian Festival Taman Burung Labuan, September lalu.

Dalam majlis sama, kementerian turut menyerahkan 230 burung pelbagai spesies baru Borneo dan eksotik termasuk Ring-Neck Parakeet dan Galah cockatoo.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*